Solat Jumaat Pertama 6 Mei 2011

Alhamdulillah, solat Jumaat pertama di Surau As-Syakirin telah diadakan pada 6 Mei 2011 lalu. Kira-kira 800 jemaah memenuhi ruang solat utama yang melimpah sehingga ke luar dan ruang solat di belakang. Sebagai solat Jumaat pertama, sambutan yang diberikan oleh orang ramai sangat memberangsangkan.

Ustaz Amiruddin yang juga Bilal Surau Jumaat As-Syakirin bertindak sebagai Bilal pertama pada hari tersebut. Manakala khutbah disampaikan oleh Ustas Hasrul Aidil yang kemudiannya mengimamkan solat. Mungkin bersempena dengan sambutan Hari Ibu, khutbah ‘Air Mata Ibu’ disampaikan berdasarkan teks yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI ).

Sementara sebelum azan berkumandang, Pengerusi Surau As-Syakirin memberikan ucapan alu-aluannya kepada para jemaah. Beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran dan sokongan para jemaah yang hadir. Selain itu beliau juga berseru agar penduduk sekitar dapat juga mengimarahkan surau ini dengan hadir dalam solat waktu yang lain. Pihak surau juga masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai supaya dapat ditingkatkan infrastruktur surau dalam memberikan keselesaan kepada para jemaah.

Pihak AJK mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada para penduduk yang telah memberikan sumbangan termasuk Pejabat Ahli Parlimen Putrajaya, atas sumbangan beberapa perkara dalam menjayakan solat Jumaat ini. Antaranya ialah mimbar, sejadah, kipas, tambahan tempat wuduk serta membuat bumbung pada ruangan terbuka di belakang surau.

Sementara itu, kira-kira 30 orang penduduk telah hadir dalam Majlis Kesyukuran sempena naik taraf surau kepada surau Jumaat. Majlis diisikan dengan bacaan Yasin beramai-rami, solat hajat, doa selamat dan jamuan ringan.


0 comments:

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP